Ucapan dari Duta Miyagawa

  • A picture is displayed.
Pada 6hb Mac, saya bersama dengan keluarga saya telah kembali ke Malaysia – sebuah negara yang saya pernah berkhidmat 20 tahun yang lalu – untuk menggalas tugas sebagai Duta Besar Jepun ke Malaysia. Sebaik sahaja saya tiba, saya tertanya-tanya dengan perubahan yang saya lihat. Sayangnya, rumah-rumah dan jalan-jalan yang pernah saya lalui tidak lagi wujud. Walaupun saya merasa kehilangan, saya mengagumi usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dan juga rakyatnya yang telah berjaya menukar negara ini kepada negara berekonomi moden dalam masa beberapa tahun.  Ini benar-benar telah membuka mata saya. 

Kembali ke negara yang saya telah kenali dan bertemu semula rakan-rakan lama, saya ingin merasai dan memastikan apa pembangunan yang baru, dan apa yang tidak berubah di antara rakyat kedua-dua negara. 

Dalam masa hampir suku abad, hubungan antara kedua-dua negara ini telah mengalami perubahan. Begitu juga hubungan Jepun dengan Asia Tenggara. Dengan ekonomi Malaysia menghampiri ke tahap maju, hubungan dua hala ini telah bertukar daripada hubungan pemberi-penerima kepada pengukuhan hubungan ekonomi.

Dua puluh tahun lalu, dengan hanya menghantar sepasukan kecil Angkatan Tentera Jepun (JSDF) ke luar negara sudah menyebabkan sesetengah pihak di Jepun mengangkat kening mereka.  Ini membawa kepada kegagalan kita untuk memenuhi harapan negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Kini, dalam usaha mencari  pesawat Malaysia Airlines yang hilang dalam perjalanan ke China, beberapa pesawat dengan lebih dari 100 anggota dari SDF dan Pengawal Pantai Jepun telah terlibat dalam operasi ini setiap hari dari Lapangan Terbang Subang.

Persatuan Negara Negara Asia Tenggara (ASEAN), yayasan di mana Jepun menawarkan bantuan, sudah melepasi konfrontasi perang dingin, dan telah mengukuhkan kerjasama dan pada masa yang sama memperluaskan keahlian. Tahun depan adalah tahun untuk mempertingkatkan ASEAN menjadi sebuah komuniti ekonomi. Malaysia diharapkan akan memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN 2015. Jepun, bersedia untuk menghulurkan bantuan, jika diperlukan. 

Saya lega, di tengah-tengah  perubahan dan pembangunan, hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun terus menikmati perkembangan dan peningkatan, walaupun dalam tahun-tahun di mana ekonominya tidak berkembang dan kecelaruan politik  berlaku di Jepun.  Syarikat-syarikat Jepun yang sekarang ini menjalankan perniagaan di Malaysia, telah berkembang sehingga mencapai 1,400 syarikat, dan bertambah tahun demi tahun, sebagai respon kepada kemajuan ekonomi. Selain industri pembuatan, yang merupakan sektor industri tradisional utama, industri-insdutri lain, seperti sektor perkhidmatan telah menyertai Malaysia.

Dasar Pandang Ke Timur, yang secara khususnya telah  mengukuhkan hubungan kedua-dua negara, kini telah memasuki fasa baru iaitu “Gelombang Kedua”. Hubungan istimewa antara Jepun dan Malaysia mekar selama 30 tahun berlandaskan kepada dasar ini. Sehingga hari ini, tidak kurang daripada 15,000 rakyat Malaysia telah belajar di Jepun di bawah dasar ini. Sekembalinya mereka ke Malaysia, mereka bekerja untuk membangunkan Malaysia dan untuk merapatkan jambatan persahabatan kedua-dua negara. Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur, saya percaya, menaik taraf hubungan kita ke satu tahap yang baru.

Sepanjang tahun-tahun yang mengalami perubahan dan pembangunan, namun, hati rakyat Malaysia nampaknya masih tidak berubah. Ramah, sopan, baik hati, dan juga Japanophile, rakyat Malaysia sangat menghargai ikatan kekeluargaan dan hubungan dalam masyarakat serta menghormati tradisi. Rakyat Malaysia sopan, bertimbang rasa, belas kasihan dan bertamadun.  Saya gembira  jika pandangan saya terhadap rakyat Malaysia 20 tahun yang lalu masih lagi kekal.

Dalam mengakhiri nota ucapan saya, saya merasa amat bangga untuk bersama-sama mengukuhkan hubungan di antara Malaysia dan Jepun. Nasihat, cadangan dan sumbangan anda amatlah dihargai.