| Japanese (日本語)
Halaman Utama > Sidang Kemuncak Jepun-Malaysia

Sidang Kemuncak Jepun-Malaysia

12 Disember, 2013

Bahasa Malaysia

    Pada hari Khamis, 12 Disember, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe telah mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Razak semasa lawatannya ke Jepun untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN – Jepun. Perjumpaan yang mengambil masa lebih kurang 30 minit itu berjalan seperti berikut (dihadiri wakil dari Jepun termasuklah Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Hiroshige Seko, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura dan lain-lain. Wakil dari Malaysia pula terdiri daripada Y.B. Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan lain-lain.)

    1.    Kata-kata Aluan

    Perdana Menteri Shinzo Abe mengalu-alukan lawatan Perdana Menteri Najib ke Jepun serta melahirkan rasa simpatinya terhadap kemusnahan yang berlaku semasa banjir besar melanda Malaysia baru-baru ini. Perdana Menteri Abe turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri Najib untuk membina hubungan dua hala yang baru yang disesuaikan dengan pentadbiran Perdana Menteri Najib. Perdana Menteri Najib mengucapkan terima kasih atas layanan yang diberikan oleh pihak Jepun dan menyokong idea untuk membina hubungan dua hala yang baru.

    2.    Hubungan Dua Hala

    (1)    Berdasarkan pengiktirafan bahawa asas hubungan dua hala Jepun-Malaysia adalah hubungan persahabatan pelbagai lapisan berdasarkan polisi ‘Pandang Ke Timur’, kedua-dua pemimpin meluluskan penubuhan rangka kerja untuk perbincangan kedua-dua negara dalam mengukuhkan kerjasama melalui ‘Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur’ yang sedang diusahakan Malaysia. Selain itu, tujuan penubuhan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) sebagai hab pendidikan teknologi untuk seluruh ASEAN, Perdana Menteri Abe mengumumkan bahawa Jepun akan memberi bantuan biasiswa kepada pelajar dari negara-negara ASEAN untuk melanjutkan pelajaran mereka di MJIIT. Sebagai respons kepada perkara ini, Perdana Menteri Najib menyokong idea yang dikemukakan.

    (2)    Dalam bidang ekonomi, kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan bahawa mereka akan meneruskan kerjasama supaya Malaysia dapat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, satu sasaran yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri Najib. Perdana Menteri Abe mempelawa Malaysia untuk memanfaatkan teknologi dan pengetahuan Jepun dalam pembangunan infrastruktur, seperti loji kuasa arang batu. Terutamanya, dalam projek landasan keretapi berkelajuan tinggi, Perdana Menteri Abe menyatakan harapannya supaya Malaysia menggunakan sistem Shinkansen sambil menekankan kecanggihan teknologi dan rekod keselamatannya. Sebagai respons, Perdana Menteri Najib mengakui teknologi Jepun yang bertaraf dunia, dan mengalu-alukan syarikat Jepun yang berminat untuk terlibat dalam projek ini.

    (3)    Dalam bidang keselamatan maritim, kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan  bahawa mereka akan terus meningkatkan kerjasama, dan merealisasikan latihan bersama antara organisasi keselamatan maritim kedua-dua negara buat julung kalinya pada September tahun ini.

    3.    Hal Ehwal Serantau dan Antarabangsa

    (1)    Perdana Menteri Abe menyatakan bahawa beliau berminat untuk menjadi penyelaras bersama Malaysia, sebagai pengerusi bagi ASEAN 2015, dan kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan untuk terus bekerjasama untuk mewujudkan komuniti ASEAN pada 2015.

    (2)    Kedua-dua pemimpin juga bertukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa termasuk isu di Laut China Selatan, dan Perdana Menteri Abe menjelaskan pendirian Jepun terhadap penubuhan Zon Pengenalan Pertahanan Udara China. Selain itu, Perdana Menteri Abe turut menjelaskan bahawa kerajaan Jepun akan menyumbang secara lebih aktif kepada keamanan dan kestabilan serantau serta komuniti antarabangsa, berdasarkan kepada prinsip ‘sumbangan proaktif kepada keamanan’.


    back to top

    No.11 Persiaran Stonor, Off Jalan Tun Razak,
    50450 Kuala Lumpur, Malaysia
    Tel: 03-2177-2600