Ucapan Perkenalan TYT SHIKATA Noriyuki, Duta Besar Jepun ke Malaysia

2024/11/6
Amb Shikata
Nama saya SHIKATA Noriyuki. Saya baru sahaja tiba di Malaysia hari ini untuk mengambil alih tugas sebagai Duta Besar Jepun ke Malaysia, satu peranan yang telah saya nantikan sejak pengumuman pelantikan saya. 
 
Kali pertama saya melawat ke Malaysia adalah lebih 25 tahun yang lalu semasa percutian bersama keluarga ke Langkawi. Saya masih mengingati suasana santai, sikap mesra, dan keselesaan negara ini pada waktu itu yang membuatkan saya ingin tinggal lebih lama di sini.
 
Saya juga pernah melawat negara ini dua kali bagi mengiringi Perdana Menteri Jepun semasa lawatan rasmi mereka ke Malaysia. Kali pertama lawatan adalah pada tahun 2007 pada masa kepimpinan Perdana Menteri Abe dan seterusnya semasa pentadbiran Perdana Menteri Kishida pada November 2023, di mana saya bertugas sebagai Setiausaha Kabinet untuk Perhubungan Awam di Pejabat Perdana Menteri. Saya berasa berbesar hati dapat menghadiri mesyuarat antara Perdana Menteri Jepun-Malaysia semasa lawatan kedua saya, serta bertukar pandangan dengan pihak media dan pakar tempatan. Pengalaman ini memberikan saya peluang untuk merasai pengalaman secara langsung hubungan dua hala yang sangat erat dan mesra antara kedua-dua negara.
 
Saya juga berasa amat gembira dan berbesar hati dapat berkhidmat di barisan hadapan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama mesra yang sedia ada antara Jepun dan negara yang indah ini , yang diikat oleh persahabatan erat dan hubungan kukuh yang dibina sejak bertahun-tahun lamanya melalui Dasar Pandang ke Timur.  Malaysia akan memegang jawatan pengerusi ASEAN pada tahun depan iaitu 2025 dan memainkan peranan penting dalam menerajui pembentukan dasar utama negara-negara Asia Tenggara di bawah tema “Inklusiviti dan Kelestarian”, di mana pertukaran kerjasama rakyat Jepun dengan rakyat Malaysia akan lebih banyak dijangkakan. Saya bersyukur diberikan peluang untuk menyumbang sebagai Duta Besar Jepun di Malaysia pada waktu yang begitu bermakna ini dan saya akan berusaha masa yang tepat ini dan berazam akan melakukan yang terbaik.
 
Hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia memasuki fasa baharu apabila ia dinaikkan taraf kepada “Perkongsian Strategik Komprehensif” pada Disember 2023 yang lalu. Dengan memanfaatkan hubungan mesra yang telah terjalin di antara kedua-dua negara, saya berazam untuk mempertingkatkan lagi pertukaran kerjasama rakyat dengan rakyat dalam semua bidang, terutamanya dalam aspek budaya, pelancongan, pertukaran pelajar dan pendidikan, bagi memenuhi komitmen kami untuk mengukuhkan perkongsian baharu antara Jepun dan Malaysia.
 
Hubungan kukuh antara kedua-dua negara kita, yang telah disemai selama bertahun-tahun berdasarkan prinsip dan nilai asas yang dikongsi, seperti perintah antarabangsa yang bebas dan terbuka berdasarkan kedaulatan undang-undang, menjadi semakin penting di tengah-tengah kerumitan dan ketidakpastian yang semakin meningkat di pentas global. Kami akan terus mengembangkan dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara melalui usaha proaktif seperti Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA), Perundingan Dua Hala Jepun dan Malaysia, Dialog Strategik di antara agensi-agensi Kementerian Luar Negara dan Kementerian Pertahanan, serta Kumpulan Kerja Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Ini akan meningkatkan kerjasama antara Jepun dan Malaysia dan sekaligus memberi kesan kepada masyarakat antarabangsa juga dalam merealisasikan "Strategi Bebas dan Terbuka Indo-Pasifik (FOIP)" yang dianjurkan oleh Jepun. 
 
 Malaysia menitikberatkan hubungan dua hala, pelaburan dan kerjasama ekonomi dari Jepun. Untuk mencapai Pembangunan ekonomi yang lebih besar melalui perkongsian ekonomi antara kedua-dua negara, kami komited untuk menggalakkan lebih banyak syarikat Jepun datang dan melabur serta bekerjasama dalam meningkatkan kitaran perniagaan yang sihat di Malaysia bagi mencapai pembangunan ekonomi yang lebih pesat antara kedua-dua negara. 
 
Malaysia adalah salah satu pembekal LNG terpenting kepada Jepun. Bagaimanapun, kerjasama kami dalam bidang tenaga tidak terhad kepada LNG sahaja. Terdapat kerjasama berterusan dalam penerokaan bidang baharu seperti dalam penggunaan hidrogen dan ammonia, serta penangkapan dan penyimpanan karbon dioksida (CCS). Di samping itu, Malaysia juga sangat menyokong inisiatif “Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC)” yang dianjurkan oleh Jepun yang menggesa peralihan tenaga dan penyahkarbonan. Oleh itu, Malaysia akan menjadi rakan kongsi yang semakin penting oleh Jepun dalam menangani isu tenaga global secara bersama.
 
Di samping itu, saya juga komited untuk bertukar pandangan dan mengambil kira maklum balas dari rakyat Jepun yang tinggal di Malaysia, serta akan bekerjasama dengan  pegawai dan kakitangan Kedutaan Jepun untuk merangka langkah-langkah konkrit yang boleh diambil bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia.
 
 Saya juga berharap dapat mengadakan lawatan ke semua negeri sepanjang tempoh saya bertugas di Malaysia. Saya ambil maklum bahawa setiap negeri mempunyai ciri-ciri uniknya tersendiri. Saya berharap melalui komunikasi dengan seramai mungkin rakyat Malaysia dan Jepun di setiap negeri, saya dapat merancakkan lagi kerjasama serantau di peringkat negeri dan menggalakkan persefahaman dan persahabatan antara kedua-dua negara di seluruh Malaysia. 
 
Sebagai Duta Besar Jepun ke Malaysia, saya bertekad untuk menyempurnakan tugas saya sebaik mungkin dan saya amat menghargai sokongan dan kerjasama anda yang berterusan untuk masa yang akan datang.
 
Sekian, terima kasih.